Thursday, November 24, 2016

KENYATAAN AKHBAR KETUA POLIS NEGARA TERHADAP PENANGKAPAN KETUA BERSIH 5 MARIA CHIN ABDULLAH DI BAWAH SOSMA 2012.

Saya rasa, perlu untuk saya beri penjelasan berkenaan dengan perkara tentang Maria Chin kerana nampaknya berbagai-bagai pihak termasuk bekas-bekas pemimpin negara cuba untuk mengelirukan orang ramai. Ada juga peguam-peguam pun cuba untuk mengelirukan orang juga.
Berkenaan dengan Maria Chin ini, saya akan bahagikan kepada *tiga (3) peringkat*. *Pertama* penyiasatan terhadapnya. *Kedua*, bab berkenaan penahanannya dan yang *ketiga*, saya akan menjawab tentang kononnya layanan buruk yang kita beri terhadapnya semasa tahanan.

Yang pertama, penyiasatan terhadapnya. Saya nak mengesahkan di sini bahawa Maria Chin disiasat di bawah dua (2) undang-undang. Yang pertama Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 dan yang kedua di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan. Kesalahan yang pertama di bawah APA 2012, adalah kesalahan tidak mematuhi syarat-syarat di bawah APA 2012 berkenaan 19 November 2016 lalu dan juga beberapa perhimpunan sebelumnya. Jadi kita siasat satu (1) di bawah APA 2012. Jelas ya. Jangan kelirukan orang pula. Kemudian, pada 18.11.2016 satu (1) pasukan polis telah pergi ke pejabat BERSIH dan membuat penggeledahan dan kami telah menemui beberapa dokumen yang memberi petunjuk kepada kami bahawa satu (1) kesalahan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu menggugat amalan demokrasi berpalimen di Malaysia.

Oleh kerana cukup alasan-alasan untuk kita menahan dan menyiasat Maria Chin di bawah Seksyen 124C, kita telah menahan dia selepas itu pada hari yang sama dan prosedur di bawah siasatan di bawah Seksyen 124C  Kanun Keseksaan adalah di bawah (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA. Jadi di bawah SOSMA ini, kita boleh menahan dia selama 28 hari. Jadi, penahanan Maria Chin tidak ada kena mengena dengan perhimpunan BERSIH. Penahanan dia di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan dan prosedur di bawah SOSMA kerana kesalahan yang boleh menggugat dan mengancam keselamatan negara ataupun demokrasi berpalimen.

Di bawah undang-undang bukan sahaja SOSMA kita boleh guna untuk pengganas, kita boleh guna ke atas mereka yang terlibat dengan jenayah terancang, kesalahan penyeludupan manusia dan kesalahan-kesalahan terhadap negara. Yang orang cakap, kerajaan janji cuma terhadap pengganas itu _Prevention Terrorism Act_ (POTA). Jangan keliru dan saya harap jangan ada orang yang cuba mengelirukan orang ramai pula. Sepanjang ingatan saya, kerajaan tidak pernah mengatakan bahawa Seksyen 124C cuma digunakan ke atas pengganas tidak ada. Itu berkenaan dengan penahanannya. Jadi, prosedur di bawah SOSMA, kita ada kuasa menahannya 28 hari untuk kita merungkai segala bukti-bukti yang kita jumpa di pejabatnya. Segala alat komputer dan dokumen yang kita jumpa perlu bawa balik dan itu kita perlu masa untuk menyoal, _go thru_ dokumen-dokumen yang kita rampas itu. Maria Chin sendiri mengaku bahawa pernah menerima wang daripada _Open Society Foundation_ (OSF), dan kita semua tahu apa dia OSF dan berapa negara lain yang dia telah tumbangkannya melalui cara-cara dia. Adalah menjadi tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Seksyen 3 (3) untuk memastikan keadaan keselamatan dan ketenteraman negara kita tidak diancam oleh sesiapa juga.

Yang ketiga, berkenaan layanan buruk yang kita beri terhadapnya semasa tahanan polis. Saya menafikan bahawa kita memberinya layanan yang buruk. Apa juga _treatment_ yang kita beri pada dia, adalah sama seperti tahanan-tahanan lain dan kita mematuhi _lock-up rules_, _prison rules_ dan apa juga prosedur standard operasi (SOP) yang ada berkaitan dengan penahanan orang yang ditahan atau ditangkap. Jadi, kononnya dia tidak diberi tilam dan sebagainya, dia kena memohon. Saya tidak dapat maklumat yang dia ada memohon untuk tilam. Jadi hari ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) datang melawat dia dan memohon untuk tilam. Kita beri tilam dan kita beri dia _medical attention_ yang baik sekali. Ubat-ubat yang dia perlu, kita tidak ketepikan. Dia telah dilawat oleh doktor tak kurang daripada tiga (3) kali sejak penahannya. Setiap minggu dia akan diberi rawatan oleh doktor dan kita ada doktor _standby_ 24 jam jika mana-mana tahanan memerlukannya. Apapun sebarang SOP atau pun peraturan lokap kita adalah mengikut peruntukan _Lock-Up Rules_ dan _Prison Act_.

Jadi berbalik kepada siasatan tadi, PDRM telah menerima lebih daripada 15 laporan polis berkenaan dengan kegiatan BERSIH dalam aktivitinya menganjurkan perhimpunan-perhimpunan dan juga berkenaan dengan bantuan-bantuan dari luar. Jadi kita nak tahu juga apa kedudukan BERSIH ini sebenarnya, sama ada dia satu (1) pertubuhan ke, sama ada dia satu (1) syarikat ke, sama ada dia boleh menerima wang daripada mana-mana pihak ke jadi Itu kita perlu menyiasat. Itu sebabnya, kita perlu mengambil langkah-langkah yang saya sebutkan tadi untuk kita menjalankan siasatan. Apa yang kita temui semasa kita membuat penggeledahan di pejabatnya, adalah satu (1) perkara yang serius yang kita perlu jalankan siasatan terperinci. Jadi itu sebab polis membuat keputusan menggunakan prosedur di bawah SOSMA untuk kita membuat siasatan yang rapi.

SOALAN WARTAWAN

*Wartawan 1:*  Siasatan mengikut SOSMA adalah untuk siasatan menyeluruh, adakah keperluan untuk menggunakan SOSMA itu atau boleh menggunakan prosedur lain?
*KPN:* Kita ada pilihan untuk prosedur lain, tetapi untuk siasatan ini kita memilih untuk menggunakan prosedur SOSMA, kerana perkara ini serius. Tindakan ini boleh mengancam keselamatan negara kita. Kami memandang berat perkara ini dan sudah semestinya kita memberi fokus yang utama dan menggunakan SOSMA untuk kita jalankan siasatan.

*Wartawan 2:* Jadi, tadi Tan Sri ada cakap, ada jumpa dokumen di pejabat Bersih, adakah itu dokumen berkaitan dengan OSF?
*KPN:* Tak payahlah saya sebut. Itu biar kita siasat.

*Wartawan 3:* Antara _point_ yang digunakan oleh pengkritik, dalam Seksyen 4(3) SOSMA mengatakan bahawa seseorang tidak akan ditangkap semata-mata _political belief._ Apa pandangan Tan Sri?
*KPN:* Ini tidak ada kena-mengena dengan politik. Mana ada kena-mengena dengan politik. Saya sebut tadi bahawa perkara ini mengancam keselamatan negara kita. Jadi, mengancam amalan demokrasi berparlimen negara kita. Kita bukan tak tahu _track record_ OSF dan sebagainya. Jadi, kita perlu mengambil langkah-langkah untuk memastikan negara kita tidak terjerumus ke dalam perangkap mereka yang cuba menjatuhkan negara kita. Ini tidak ada kena-mengena politik langsung. Janganlah mana-mana pihak mengaitkan perkara ini dengan politik. Tak ada.

Ada soalan lagi? Jangan bagi orang keliru. Saya harap masyarakat tidak akan keliru. Ramai sangat yang mengelirukan orang.

*Wartawan 8:*  Tan Sri, nak tanya pasal Ketua Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos, yang ingin menganjurkan konvoi Bersih 7 ‘Selamatkan Selangor’ yang akan bermula di Sekinchan, Sabtu ini. Adakah program beliau akan dipantau polis?
*KPN:* Sudah semestinya. Jika aktiviti itu menyalahi undang-undang, dia bersedia dengan tindakan. Saya dah bagi tahu sebelum ini, kami telah banyak bersabar tentang perhimpunan-perhimpunan haram ini, dari Bersih 1 sampai Bersih 4, apabila nak buat Bersih, ada pula kumpulan lain yang akan _provoke._ Sampai bila akan berterusan macam ini. _I think this cannot go on._ Daripada sekarang, kita akan mengambil langkah-langkah yang lebih tegas lagi, terhadap mereka yang sengaja melanggar undang-undang yang ada di negara kita, termasuk yang bakar lilin malam-malam di Dataran Merdeka itu. Bersedia dengan tindakan dan kita tahu siapa penganjurnya, kalau terus-menerus, mencabar undang-undang kita, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan. Jangan ingat bakar lilin malam-malam itu. Anda semua melanggar Akta Perhimpunan Aman. Jadi, jangan cuba cabar kita. Bila kita ambil tindakan, semua akan meraung-raung pula, tetapi sampai bila kita biar orang melanggar undang-undang kita. Undang-undang itu dibuat untuk kita mengambil tindakan kepada mereka yang melanggar undang-undang. Jadi, siaplah kalau nak buat juga, saya dah cakap, berani buat berani tanggung.

TS KHALID ABU BAKAR

umno tube

Umno Umno online.

http://www.kpmu.net/

Blog Archive